Friends

Silaturrahim..

Jalinan ukhwah dipupuk dalam membentuk kesatuan Melayu sejagat.

Iktikad yang satu..

Menepis Patah, Memukul Pecah.

Segenap cahaya..

cahaya pelita menemani kami sepanjang menjalani latihan dan program di waktu malam.

Kesepakatan membawa berkat..

Srikandi juang..

Srikandi juga turut sama ketika latihan.

Sidang rakan juang.

Ukhwah terjalin erat..

Latihan.

Wajah kesungguhan dan ikhlas dalam menerima terpancar diraut wajah...

SALAM SILATURRAHIM

Assalammualaikum wbt,

" Dengan nama Allah yg maha pengasih lagi maha penyayang. Rahmatilah keatas penghulu kami Muhammad dengan bilangan rahmat sebagaimana dalam ilmu Allah, rahmat yg berkekalan dengan kekalnya kerajaan Allah."

Pencak Pukulan Tiga Belas. Gabungan dua beladiri yang tiada mempunyai nama pada awalnya. Namun wujud gurunya dan permulaannya. " Silat ini tiadalah bernama, tidak pernah juga aku letak akan namanya.. letakkanlah angka 9 akan namanya..." Maka sembilan itulah salah satu dari duanya, sebelum 13 menjadi namanya. Kerana yang satu itu lagi hanyalah empat akan tapaknya. Buat mendirikan batang tubuh yang belum tahu akan untung nasibnya. Pesan Pak Tua semasa berkelana di Kota Tinggi. Telah pun arwah guruku yang satu ini, tujuh hari sebelum arwah menghela nafasnya yang terakhir, sempat mengajarkan aku akan empat tapak yg diamalkan dan dipeliharanya. Amatlah mudah, ringkas dan berkesan dipelbagai keadaan. Lalu diilhamkan gelarannya permainan ini, Penchak Pukulan 13. 9+4=13. Jurusannya didirikan pada dasar lima tangan, empat kaki & empat tapak. Mudah-mudahan usaha mengembangkan Penchak ini membuahkan hasil dalam memartabatkan Silat pada Bangsanya. Memupuk semangat pada anak bangsa dan pewaris seterusnya tentang betapa pentingnya perjuangan sebuah bangsa, betapa pentingnya Silat dalam memartabatkan Agama dan Bangsa. InsyaAllah, mudah-mudahan lantaran usaha yang berdikit-dikit ini, mendapat berkat dan sinaran Rahmat dari Allah swt.

>> MAKA, APAKAH BEKALAN SERTA SAKI BAKI PENGETAHUAN YANG ANDA TINGGALKAN UNTUK GENERASI AKAN DATANG??
Showing posts with label SEJARAH. Show all posts
Showing posts with label SEJARAH. Show all posts

SEBELUM TANAHNYA DIGELAR MELAKA



Alkisah telah diceritakan kepada sekalian rakyat jelata, adapun Wau Bulan itu telah disampai-sampai datangnya lahir sebagai lambang penyatuan kembali Empayar Srivijaya oleh Dewa Muda. Adapun setelah kemangkatan nendanya yang mana kepala Empayar Srivijaya iaitu Sri Maharaja Sri Jayanaga, maka empayar ini mulai berpecah diperintah secara berasingan dari negara induk Srivijaya iaitu Medang Bhumi.

Diperkurun awal abad ke-8 lahirnya cucu Sri Maharaja Sri Jayanaga yang bernama Jaya Sinha namanya. Maka ada menggelarnya Sanjaya Putera, Inu Dewa Mahisa Kelana Seri Panji, Sri Maharaja Sri Jayanaga dan juga Hyang Kamajaya. Maka banyaklah pula yang menggelarnya Raden Inu Kertapati atau Raden Asmarajaya tetapi dia lebih disebut-sebut sebagai Dewa Muda. 

Sekian lamanya Dewa Muda telah mengadakan serangan untuk menyatukan sekalian Empayar Srivijaya. Sebelum Dewa Muda mengadakan serangan, dia telah lama bertapa dan apabila selesai, dia pulang dari gua tempatnya bertapa dengan membawa rangka atau ‘lembaga’ wau bulan yang baginya merupakan peta penyerangan dan penaklukan kembali Empayar Srivijaya itu. 

Lalu berkali masa Dewa Muda bertitah, “Demi empayar Sri Wijaya ini tidak bertelingkah, hendaklah sekalian jelata turut menyerang sekali.”

Maka disahuti rakyat jelata,”Jikalau itu titahnya, hamba juga turut serta.” Lalu berkhabar Dewa Muda,”Jikalau begitu, hasrat hati ini mahu bertapa di gua sana.”

Maka menjawablah sekalian rakyat jelata, “Baiklah. Jika demikian itu, tunaikanlah segala hajat hati sebelum perjanjian yang bermuafakat ini.”

Telah sudah berkhabar-khabar, maka Dewa Muda lalu bermohon bergerak ke gua bertapa. Tiada berapa lamanya, maka keluarlah Dewa Muda terlalu sukacita dari tempat bertapa membawa rangka Wau Bulan seraya berkhabar, “Ini peta dari pertapaan. Demi penyerangan dan penaklukan semula empayar Sri Wijaya.” Hatta, kalakian maka demikianlah tersebutlah perkataannya Dewa Muda tatkala tiba.

Arkian maka datanglah berkumpul sekaliannya, dahsyat seketika melihat akan rangka itu. Maka bertanyalah rakyat jelata, “Hai tuanku Dewa Muda, barang apakah tuanku membawa rangka Wau Bulan itu ke mari? Silakanlah bertitah, boleh saya semua mendengar.”
  
Eh Wau Bulan
Eh Wau Bulan
Eh Wau Bulan

Dewa Muda menakluk kembali empayar yang agung itu kira-kira pada tahun 713 hingga 779 Masihi. Setelah mendapat kemenangan, Wau Bulan yang menjadi lambang Empayar Srivijaya dikenali sebagai ‘Sejagat Tanah Jawi’.

Arakian disebut-sebut kerahsiaan pada lembaga wau bulan itu di serata alam akan Kepala dan tengkuk wau bulan yang berbentuk garuda itu melambangkan raja segala burung yang sebenarnya seorang wali. Namanya ialah Riah, dalam Bahasa Arab disebut ‘Nabi Mahlail Alaihissalam’ antara 313 rasul dan dalam Bible, beliau disebut dengan nama ‘Mahalelselt’. Sekalian rakyat jelata menggelarkan Nabi Mahlail sebagai 'Burung Petala Indera’. Jadi, kepala Wau Bulan ini melambangkan roh dan semangat Empayar Srivijaya, dan memberi erti asas kebudayaan dan asas peradaban dalam empayar ini.

Dikisahkan bahawa unsur wau ini memiliki tiga belas bahasa, tiga belas ragam yang melambangkan negeri atau daerah yang disatukan kembali dengan negara pusat Empayar Srivijaya. Tiga belas negeri jajahan takluk tersebut ialah Filipina, Vietnam, Segenting, Kemboja, Laos, Siam Tengah, Siam Utara, Burma, Burma Barat dan Benggala Timur menganjur ke Kepulauan Andaman, Pulau Irian dan Pulau Sulawesi. Sementara tiga belas ragam bererti tiga belas suku terdapat di tiga belas daerah/negeri tersebut.

Bulatan bulan pada Wau Bulan melambangkan negeri-negeri daratan yang dinamakan NUSARANTANG-kawasan yang bersambung.

Bintang yang terletak di antara bulatan bulan sabit penuh dilambangkan sebagai ‘negara pusat’ atau ‘kawasan pusat pemerintahan’ yang dinamakan 'NUSA KENCHANA-Kawasan Emas yang mana Nusa Kenchana ini terletaknya megah tanah warisan nenek moyang Melayu yang sebelum diberi namanya Malaka. 

Manakala pula bulan sabit penuh yang menjadi bahagian bawah wau ini dilambangkan dengan negeri-negeri kepulauan yang dinamakan NUSANTARA-Kawasan yang dirantai oleh laut-laut.

Wau Bulan ini memiliki tiga teraju yang melambangkan tiga bahagian empayar Srivijaya dan tiga teraju ini diikat oleh satu tali, yang melambangkan Empayar Srivijaya ini diperintah oleh satu pentadbiran pusat yang berkerajaan emas di Nusa Kenchana - Semenanjung Emas sebelum nama kerajaannya digelar Melaka karena rakyat jelata di sini tinggi ketamadunannya dan mahir dalam segala macam perkara.

Begitulah ceriteranya al-kisah bumi bertuah Nusa Kenchana berkerajaan Wau Bulan di Semenanjung Emas.

SUMBER CERITA : Toko Saudagar Tekua
LAKARAN GAMBAR : SENIREKA TO' PEK
KAJIAN SEJARAH : PENCHAK PUKULAN 13

PANGLIMA HITAM


Dikisahkan serba sedikit tentang Panglima Hitam yang digeruni akan namanya dan siapakah MEREKA...

Seringkali diceritakan kepada semua tentang Panglima Hitam yang mana pergerakan silatnya amat pantas dan licik serta mampu menghapuskan musuh dengan sekelip mata sahaja. Ada yang terkeliru mengatakan bahawa Panglima Hitam itu adalah namanya dan hanya ada satu sahaja di Tanah Melayu. Akan tetapi jika tuan hamba beranggapan begitu, ternyata tanggapan tuan hamba tidak tepat kerana Panglima Hitam ini hanyalah GELARAN bagi Pahlawan Di-Raja yang diberikan oleh Sultan kepada hulubalangnya yang terpilih kerana sifat kependekarannya yang hebat dan sifat amanahnya. 


Tiada siapa yang mengetahui siapakah gerangan Panglima Hitam yang bertindak sebagai pengawal keselamatan istana atau dengan erti kata lain, "Pembunuh Suruhan Raja." seraya bolehlah digelarkan "Ninja Melayu." Hanya Raja dan Panglima Hitam sahaja yang mengetahui rahsia ini. Setiap Istana ada Panglima Hitam yang tersendiri dan empunya bandannya adalah berbeza-beza. Raja-raja akan menyediakan sepersalinan lengkap buat Panglima Hitam tersebut ketika dalam pelantikannya untuk dipakai ketika pertempuran sulit. Sepersalinan lengkap buat Panglima Hitam adalah serba hitam dari kepala hingga ke kaki, baik bajunya, tanjaknya, seluarnya, selempangya, bengkungnya, dan sampinnya.

Penulis : Saudagar Tekua

~ al-Kisah yang hilang ratusan tahun dahulu ~

Untuk keterangan dan pelbagai jenis Busana Melayu Purba sila lawati blog :-
http://saudagar-tekua.blogspot.com

Penghulu Segala Pahlawan


Apabila berbicara tentang dunia persilatan, tidak lengkap rasanya ilmu pengetahuan seseorang pesilat sekiranya dia tidak mengetahui serba sedikit tentang "penghulu" kepada segala pendekar iaitu Imamul Muhtadin Saidina Ali ibni Abi Talib Karamallahu Wajhah.

Ketokohan Saidina Ali sebagai pendekar terunggul di dunia terbukti dalam Perang Uhud. Sewaktu pasukan Islam terpukul hebat, beliaulah yang paling gigih mempertahankan Rasulullah SAW hingga terdengar suara malaikat Jibril berkata: "Tiada pedang selain Zulfiqar dan tiada pahlawan selain Ali." Rasanya tidak ada lagi mana-mana pesilat walaupun sehebat Dato' Laksamana Hang Tuah yang mendapat pengiktirafan daripada malaikat Jibril.

Pedang Zulfiqar asalnya milik Rasulullah SAW yang kemudiannya digunakan oleh Saidina Ali. Sebahagian ulama mengatakan bahawa pedang inilah Raja Segala Besi. Selepas Saidina Ali dibunuh secara curi, pedang Zulfiqar ini turut lenyap dan ada riwayat mengatakan yang ia akan muncul semula pada akhir zaman. Wallahu alam.

Pengaruh Saidina Ali dapat dilihat dalam silat-silat Melayu yang mendakwa aliran mereka mempunyai permainan pedang Saidina Ali, jeritan muktamad Saidina Ali, buah-buah penangkap Saidina Ali dan sebagainya. Memang sewajarnyalah ada pihak-pihak tertentu yang membuat kajian tentang sejauh manakah pengaruh menantu Rasulullah SAW ini dalam seni beladiri di nusantara.

Orang Arab memang terkenal dengan syair. Orang pertama yang mendendangkan syair tentang kasih-sayang kepada Nabi Muhammad ialah bapa Saidina Ali sendiri iaitu Abu Talib, yang terkenal sebagai pembela Rasulullah SAW dalam menghadapi kaum kafir Quraisy.

Sewaktu isterinya (Fatimah) mengandungkan Saidina Ali, Rasulullah telah menyatakan hasrat baginda untuk mengahwini anak dalam kandungan itu sekiranya perempuan. Abu Talib bersetuju. Dia juga mencadangkan agar Rasulullah sendiri mengasuh bayi itu hingga besar jika lelaki pula.

Setelah cukup masanya, Fatimah pergi berdoa di hadapan Ka'abah. Tuhan menunjukkan kemuliaan kepada anak itu apabila Saidina Ali sendiri dilahirkan di dalam Ka'abah. Kelahiran dalam Ka'abah itu adalah yang pertama dan yang terakhir dalam sejarah umat manusia.

Fatimah menamakan bayi lelaki itu Haidarah, yang bermaksud singa. Rasulullah SAW tiba selepas itu lalu menamakannya pula sebagai Ali. Ketika itu Rasulullah berusia tiga puluh tahun.

Saidina Ali mempunyai nama gelaran 'Abu Turab' yang diberi oleh Rasulullah SAW bermaksud 'Bapak Pasir/ Debu/ Tanah'. Gelaran ini diperolehi kerana Rasulullah tersua Saidina Ali yang sedang berbaring di atas tanah di Masjid Nabawi lalu terus dipanggil baginda, 'Ya Abu Turab'. Kemudian Rasulullah menyapu tanah yang melekat di punggung Saidina Ali.

Dalam peristiwa lain, Saidina Ali pernah tidur di bawah sebatang pokok kerana letih berperang. Dia baring di atas tanah tanpa beralaskan apa-apa. Rasulullah kejutkannya dengan memanggil nama tersebut.

Sumber lain mengatakan yang Saidina Ali jika merasa marah dengan isterinya (Fatimah- anak Rasulullah), dia diam sahaja lalu membawa hati dengan pergi ke masjid dan berbaring di atas tanah. Sekiranya Rasulullah melihat keadaan ini, tahulah baginda yang Saidina Ali ada krisis dengan isterinya yang memerlukan bantuan baginda.

Bagaimanakah fizikal pendekar agung ini? Tubuhnya agak rendah dan gemuk (berisi). Kedua bahunya lebar. Tangannya berurat. Dadanya lebar dengan perut yang agak besar. Jari-jemarinya halus tetapi kuat. Bentuk sebegini bolehlah disamakan dengan fizikal ahli angkat berat pada zaman ini.

Matanya lebar, bundar, hitam dan sayu. Raut wajahnya menarik dan selalu tersenyum. Berkulit sawo matang. Kepalanya culah. Ketika berjalan banyak condong ke depan. Pergerakannya lincah dan tangkas.

Pernah berkahwin dengan sembilan orang wanita dan dianugerahkan Allah lebih kurang tiga puluh orang anak. Beberapa orang anak lelakinya gugur syahid dalam pembunuhan zalim di medan Karbala.

Dikatakan Saidina Ali adalah orang pertama yang memeluk Islam. Rasulullah diangkat sebagai Rasul pada hari Isnin dan Saidina Ali Islam keesokannya. Namun ada juga pendapat mengatakan Siti Khadijah (isteri Nabi) yang memeluk Islam terlebih dahulu. Memeluk Islam dalam umur lapan ke dua belas tahun. Namun sebelum itu beliau tidak pernah menyembah berhala.

Dikenali juga dengan nama 'Qadhim' di kalangan kafir Quraisy yang bermaksud Si Tukang Gigit. Pemuka-pemuka Quraisy yang segan untuk bertindak ke atas Nabi Muhammad kerana Abu Talib masih hidup, telah menghasut agar anak-anak kecil melontar batu kepada baginda. Sudah tentulah Abu Talib tidak dapat menahan perlakuan budak-budak.

Namun begitu Saidina Ali sentiasa melindungi Rasulullah. Dia akan mengejar budak-budak tadi lalu menggigit telinga dan hidung mereka. Budak-budak itu tidak berani melawan Saidina Ali kerana dia memang handal bergusti. Abu Talib sering mengumpulkan anak-anaknya untuk bergusti sesama sendiri dan Saidina Alilah juaranya.

Saidina Ali boleh dikatakan orang yang paling mahir bahasa Arab sesudah Rasulullah kesan asuhan baginda terhadapnya dari kecil hinggalah dewasa sedangkan Rasulullah merupakan orang Arab yang terfasih.

Selain seorang pendekar, Saidina Ali juga seorang yang pandai akal. (Ada pendapat mengatakan perkataan 'pendekar' itu asalnya pandai akal/ pendek akal/ panjang akal. Jika benar akhir perkataan 'pendekar' itu 'akal', sudah tentulah orang sebelah utara menyebut 'pendekar' dengan 'pendekai'. Tetapi mereka menyebut 'pendekar' sebagai 'pendekaq'. Maksudnya, hujung perkatan 'pendekar' itu bukanlah 'akal' atau huruf 'lam' tetapi tetap huruf R atau 'ra' jawi membuatkan pendapat tersebut boleh diketepikan).

Kebijaksanaan beliau menjawab pertanyaan rumit secara terus dan lancar ketika itu juga amat menakjubkan. Pernah diajukan masalah dua orang yang si A mempunyai 5 keping roti sementara si B ada 3 keping. Kemudian datang si C makan bersama-sama mereka. Setelah makan si C bayar 8 dirham. Bagaimanakah pembahagian yang paling adil untuk A dan B?

Kalau mengikut pertimbangan kita, sudah tentulah A mendapat 5 dirham dan B 3 dirham. Namun Saidina Ali tanpa menggunakan mesin kira terus menjawab ketika itu juga bahawa A mendapat 7 dirham dan B pula hanya 1 dirham. Ternyata inilah pembahagian yang paling adil (sila fikirkan sendiri).

Pernah juga sewaktu berada di atas mimbar, orang bertanyakan jarak di antara Timur dengan Barat. Melihat kepada keadaan ketika itu sudah tentulah soalan tersebut bertujuan menguji beliau. Saidina Ali memberikan jawapan yang sesuai dengan soalan berbentuk menguji itu: 'Jarak antara Timur dengan Barat adalah jarak perjalanan matahari dalam masa sehari.'

Ada juga orang bertanyakan jarak pemisah di antara yang hak dengan yang batil. Jawan beliau: 'Jaraknya ialah empat jari (iaitu jarak antara mata dengan telinga). Yang hak itu dapat dilihat dengan mata dan yang batil itu (biasanya) didengar oleh telinga.'

Saidina Ali juga merupakan guru utama ilmu-ilmu fiqh. Ini dapat dibuktikan melalui sanad berikut: Imam Ahmad (pengasas mazhab Hambali) belajar daripada Imam Syafie yang belajar daripada Imam Malik (pengasas mazhab Maliki) yang belajar daripada Rabi'ah yang belajar daripada Ikrimah yang belajar daripada Ibnu Abbas yang belajar daripada Saidina Ali.

Begitu juga dengan sanad ini: Imam Abu Hanifah (pengasas mazhab Hanafi) belajar daripada Jaafar As Shadiq yang belajar daripada Muhammad Al Baqir yang belajar daripada Zainul Abidin yang belajar daripada Saidina Ali.

Dengan itu, kesemua Imam Mazhab yang empat sebenarnya mengambil ilmu daripada Saidina Ali. Sudah semestinyalah seorang yang ingin memperjuangkan dunia persilatan turut memahirkan diri dalam bidang keagamaan agar tidak tersalah jalan di kemudian hari.

Ketika Saidina Umar dan para sahabat buntu fikiran memikirkan permulaan taqwim Islam, mereka minta pendapat Saidina Ali. Terus dijawabnya dengan lancar, 'Tetapkan saja mulai hari hijrahnya Rasulullah SAW.' Itulah taqwim yang kita gunakan hingga ke hari ini.

Saidina Ali pernah berkata, 'Seandainya semua orang Arab maju hendak menyerang aku, aku tak akan lari.' Kata-kata ini adalah untuk menunjukkan keperibadiannya yang sebenar, bukan bertujuan menunjuk-nunjuk. Begitu juga dengan katanya: 'Tidak ada orang yang selamat berduel denganku.'

Setiap kali berduel (lawan pedang satu sama satu), beliau pasti akan menang. Tidak ada satu rekod pun menunjukkan yang beliau kalah menjadikannya 'undefeated'. Terbunuhnya Saidina Ali hanyalah secara pukul curi pada waktu gelap.

Kekuatannya boleh dilihat dalam peristiwa beliau mencantas badan Ibnu Wudd (pendekar Quraisy) hingga terputus dua dengan sekali hayunan pedang sahaja sedangkan musuhnya ketika itu memakai baju zirah (besi).
Begitu juga dengan Marhab (pendekar Yahudi) yang terbelah kepalanya terus ke rahang sedangkan dia memakai topi besi dengan sekali hayunan pedang. Ini membuatkan musuh-musuhnya begitu gentar kerana mereka tahu, dengan berbaju zirah dan bertopi besi pun tidak akan selamat jika lawan mereka Saidina Ali.

Marilah kita renungkan bagaimanakah kentalnya semangat juang Saidina Ali apabila beliau ditanya: 'Apakah engkau tidak berhasrat untuk membeli seekor kuda pacuan (yang akan digunakan dalam peperangan?.' Jawabnya: 'Aku tidak memerlukan kuda pacuan kerana aku tidak akan lari daripada menghadapi musuh yang menyerang dan tidak akan menyerang musuh yang lari.'

Pada zaman itu, pihak musuh akan merasa bangga sekiranya ada di kalangan ahli keluarga mereka yang terbunuh di tangan Saidina Ali kerana ini menunjukkan keberanian berhadapan dengan pendekar teragung Rasulullah SAW. Sebaliknya wajah mereka akan berubah apabila mendapat tahu yang ahli keluarga mereka terbunuh bukan di tangan beliau.

Bagaimanakah Saidina Ali boleh menjadi begitu kuat? Sebenarnya kegagahan beliau wujud sejak zaman bayi lagi. Apabila dibedung oleh ibunya, kain bedung akan terbuka. Kemudian dibedung pula dengan dua helai kain, pun terbuka juga. Akhirnya dia dibiarkan tidak berbedung.

Ketika berhijrah ke Madinah, Saidina Ali bersama dua orang lelaki membawa serombongan wanita yang semuanya bernama Fatimah.Tiba-tiba muncul lapan orang kafir Quraisy yang menunggang kuda. Hanya Saidina Ali saja yang berani mencabut pedang berhadapan dengan mereka.
Salah seorang musuh menyerang lalu ditetak oleh Saidina Ali terus terbelah tubuhnya apabila pedang beliau tembus dari atas ke pelana kuda. Alangkah hebatnya! Ini membuatkan ketujuh-tujuh musuh lagi bertempiaran lari bersama kuda-kuda mereka.

Saidina Ali sangat kuat beribadah. Di dahinya ada kulit yang tebal kehitam-hitaman tanda beliau membanyakkan sujud kepada Allah SWT. Cucu beliau yang bernama Zainal Abidin solat seratus rakaat sehari tetapi sering mengeluh kerana belum lagi mencapai taraf ibadah datuknya.

Kata Khalifah Umar bin Abdul Aziz, khalifah dari Dinasti Umaiyah juga Mujaddid kurun pertama Hijrah: 'Orang yang paling zuhud di dunia ialah Saidina Ali bin Abi Talib.'
Menurut Ibnu Abbas, Saidina Ali mempunyai empat kelebihan:
1. Beliau adalah orang pertama yang solat dengan Rasulullah SAW.
2. Sentiasa membawa panji Rasulullah dalam pelbagai peperangan.
3. Orang yang paling banyak memberi perlindungan kepada Nabi dalam peperangan.
4. Beliau memandikan dan memasukkan sendiri jenazah Rasulullah ke dalam lahad.

Sebagai seorang pendekar yang terhormat, beliau tidak bersifat pendendam. Sebelum meninggal dunia, beliau berpesan supaya orang yang menikamnya dilayan dengan baik dan diberikan pengadilan yang sewajarnya. Jangan ganggu keluarga pembunuhnya.

Pernah seorang khawarij (musuh Saidina Ali dan Muawiyah) datang bertanyakan masalah syariat Islam kepada Ibnu Abbas. Dia mendapat jawapan yang sangat memuaskan hati lalu berkata: 'Sesungguhnya aku belum pernah terjumpa orang yang lebih cerdas daripada engkau.' Jawab Ibnu Abbas: 'Ya, tapi aku sendiri belum pernah melihat orang yang lebih cerdas daripada Saidina Ali.' Orang itu berlalu dengan muka yang masam.

Pernah juga seorang perempuan mengadu kepada Saidina Umar kononnya dia dirogol oleh seorang lelaki kacak dengan memberikan bukti air mani yang melekat di kain dan pahanya. Saidina Umar minta pendapat Saidina Ali lalu Saidina Ali menuangkan air panas kepada cairan tersebut. Cairan itu membeku dan ternyata ia adalah putih telur. Perempuan itu dihukum kerana memfitnah.
Sabda Rasulullah SAW dalam hadith baginda:

'Barangsiapa (yang menganggap) aku ini pemimpinnya, maka Ali adalah pemimpinnya (juga).'
(Turmizi, Nasa'i, Ahmad dan lain-lain)

Menurut Imam Ahmad pula, Saidina Alilah satu-satunya sahabat yang paling banyak keutamaannya disebut dalam hadith-hadith.

Saidina Ali juga merupakan model 'sunnah' yang paling utama memandangkan beliau tinggal bersama-sama Rasulullah SAW sejak kecil lagi.

KEGAGAHAN SAIDINA ALI KARAMALLAAHU WAJHAH.

Bukti kegagahan dan kependekaran Saidina Ali terlalu banyak untuk diriwayatkan. Di antaranya ialah beliau berjaya merempuh dan memecahkan pintu kubu Yahudi Bani Khaibar seorang diri sedangkan terdapat dua puluh orang musuh yang menahannya dari dalam. Lebih dahsyat lagi, sebelah pintu yang sebegitu besar dan berat itu dibuatnya perisai tangan.

Sewaktu pembukaan Kota Mekah, terdapat sebuah berhala yang besar di atas Ka'abah. Saidina Ali berjaya menolaknya jatuh sedangkan sepuluh orang pejuang yang berpadu tenaga gagal berbuat demikian sebelum itu.

Dalam satu peperangan lain, sebuah mata air tertindih dengan batu yang sangat berat. Tiada siap pun yang dapat mengalihkannya kecuali Saidina Ali.

Sewaktu kanak-kanak, salah seorang rakannya telah terjatuh ke dalam lubang yang dalam. Saidina Ali mengangkat rakannya itu dengan menghulurkan sebelah kaki sahaja.

Dalam Perang badar, tujuh puluh orang musuh berjaya dibunuh oleh tentera Islam. Tiga puluh empat daripadanya maut di tangan Saidina Ali.

Dalam Perang Uhud pula, beliau menewaskan dua belas orang musuh dalam pertandingan satu sama satu sebelum peperangan bermula.

Dalam Peperangan Khandaq, seorang pahlawan Quraisy yang termasyhur bernama Amru Ibnu Abdi Wudd dengan niat mengejek melangkah parit seorang diri ke tempat tentera Islam. Dia meminta duel. Tiada seorang pun tentera Muslimin yang berani bersuara kerana mereka tahu betapa handalnya Ibnu Wudd.

Namun begitu sikap Saidina Ali amat berlainan. Tiga kali Ibnu Wudd mencanangkan duel tanpa jawapan tetapi setiap kali itulah pula Saidina Ali bergerak ke hadapan untuk menyahut cabarannya. Cuma dia dihalang oleh Rasulullah memandangkan Ibnu Wudd bukan calang-calang pendekar.

Setelah mendesak beberapa kali Rasulullah pun mengizinkan beliau pergi dengan hati yang berat. Sungguh di luar dugaan, Ibnu Wudd terputus dua badannya walaupun mereka baru berbalas beberapa kali tetakan. Terus luntur semangat musyrikin Quraisy.

Sungguhpun beliau pendekar segala pendekar, tetapi dia tidak membina kekayaan sebagaimana pendekar moden hari ini. Saidina Ali tidak pernah tinggal dalam rumah batu (sedangkan orang Arab lain biasa berumah batu). Tidak pernah makan makanan yang lazat-lazat. Tidak pernah memakai pakaian yang halus dan mahal, semuanya kasar-kasar belaka.

Dalam usaha untuk menjadi seorang pejuang silat, ikutilah contoh kezuhudan, keberanian, kealiman, kebijaksanaan, ketakwaan dan lain-lainya sbagaimana yang ditunjukkan oleh Saidina Ali.

Akhirnya, kita menutup riwayat ringkas Saidina Ali r.a. ini dengan dua buah cerita menarik. Cerita pertama disampaikan oleh seorang pakar tempur dari Ipoh, Perak.

Tersebut dalam sebuah kitab lama, kononnya Saidina Ali pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: 'Ya Rasulullah, adakah lagi pahlawan yang lebih handal bermain pedang daripada aku?' Jawab baginda: 'Ya, ada'.

Saidina Ali begitu terkejut dengan jawapan tersebut lalu meminta Rasulullah menunjukkan pahlawan itu kepadanya agar dapat dia bertukar-tukar fikiran dan menguji kehandalan masing-masing. Rasulullah meminta Saidina Ali pergi saja ke suatu tempat terpencil keesokan harinya. Di sana dia akan menemui pahlawan yang dikatakan itu.

Saidina Ali pergi ke sana lalu terlihat seorang lelaki yang menutup wajahnya dengan kain (bertopeng) sedang berlatih jurus-jurus pedang seorang diri. Saidina Ali pun memperkenalkan dirinya dan menyatakan tujuan kedatangannya.

Pahlawan itu tidak keberatan lalu mereka pun berbalas tetakan dan tikaman pedang. Akhirnya Saidina Ali tewas. Saidina Ali akur bahawa memang ada lagi orang yang lebih handal daripada dirinya.

Sebaik-baik sahaja topengnya dibuka, ternyata pahlawan tersebut ialah Rasulullah SAW sendiri! Kisah ini bersesuaian sekali dengan riwayat para sahabat yang mengatakan Saidina Alilah orang yang paling banyak melindungi Rasulullah dalam peperangan. Namun begitu apabila keadaan terlalu mendesak, beliau sendiri pula turut berlindung di belakang Rasulullah.

Cerita kedua, yang saya yakin hanyalah mainan kata orang-orang tua dahulu kala disampaikan oleh seorang ustaz di Trong, Perak. Kononnya, asal biji buah gajus/ janggus/ jambu ketereh itu berada di luar buahnya adalah kerana terkejut dengan pekikan muktamad Saidina Ali lalu terus tersembul keluar sehinggalah ke hari ini. Wallahu alam.

Risalah Warisan Bangsa...

Dari satu gelanggang ke satu gelanggang,
Dari rantau ke serata rantau,
Membentuk jatidiri melalui persilatan,
Menjadi bekalan ketika di perantauan...

Anak dagang menggalas bekalan,
Bukanlah makanan menjadi bekalan,
Eloklah bahasa eloklah badan,
Pekerti dijaga silaturrahim berpanjangan...