Friends

SALAM SILATURRAHIM

Assalammualaikum wbt,

" Dengan nama Allah yg maha pengasih lagi maha penyayang. Rahmatilah keatas penghulu kami Muhammad dengan bilangan rahmat sebagaimana dalam ilmu Allah, rahmat yg berkekalan dengan kekalnya kerajaan Allah."

Pencak Pukulan Tiga Belas. Gabungan dua beladiri yang tiada mempunyai nama pada awalnya. Namun wujud gurunya dan permulaannya. " Silat ini tiadalah bernama, tidak pernah juga aku letak akan namanya.. letakkanlah angka 9 akan namanya..." Maka sembilan itulah salah satu dari duanya, sebelum 13 menjadi namanya. Kerana yang satu itu lagi hanyalah empat akan tapaknya. Buat mendirikan batang tubuh yang belum tahu akan untung nasibnya. Pesan Pak Tua semasa berkelana di Kota Tinggi. Telah pun arwah guruku yang satu ini, tujuh hari sebelum arwah menghela nafasnya yang terakhir, sempat mengajarkan aku akan empat tapak yg diamalkan dan dipeliharanya. Amatlah mudah, ringkas dan berkesan dipelbagai keadaan. Lalu diilhamkan gelarannya permainan ini, Penchak Pukulan 13. 9+4=13. Jurusannya didirikan pada dasar lima tangan, empat kaki & empat tapak. Mudah-mudahan usaha mengembangkan Penchak ini membuahkan hasil dalam memartabatkan Silat pada Bangsanya. Memupuk semangat pada anak bangsa dan pewaris seterusnya tentang betapa pentingnya perjuangan sebuah bangsa, betapa pentingnya Silat dalam memartabatkan Agama dan Bangsa. InsyaAllah, mudah-mudahan lantaran usaha yang berdikit-dikit ini, mendapat berkat dan sinaran Rahmat dari Allah swt.

>> MAKA, APAKAH BEKALAN SERTA SAKI BAKI PENGETAHUAN YANG ANDA TINGGALKAN UNTUK GENERASI AKAN DATANG??

SEBELUM TANAHNYA DIGELAR MELAKA



Alkisah telah diceritakan kepada sekalian rakyat jelata, adapun Wau Bulan itu telah disampai-sampai datangnya lahir sebagai lambang penyatuan kembali Empayar Srivijaya oleh Dewa Muda. Adapun setelah kemangkatan nendanya yang mana kepala Empayar Srivijaya iaitu Sri Maharaja Sri Jayanaga, maka empayar ini mulai berpecah diperintah secara berasingan dari negara induk Srivijaya iaitu Medang Bhumi.

Diperkurun awal abad ke-8 lahirnya cucu Sri Maharaja Sri Jayanaga yang bernama Jaya Sinha namanya. Maka ada menggelarnya Sanjaya Putera, Inu Dewa Mahisa Kelana Seri Panji, Sri Maharaja Sri Jayanaga dan juga Hyang Kamajaya. Maka banyaklah pula yang menggelarnya Raden Inu Kertapati atau Raden Asmarajaya tetapi dia lebih disebut-sebut sebagai Dewa Muda. 

Sekian lamanya Dewa Muda telah mengadakan serangan untuk menyatukan sekalian Empayar Srivijaya. Sebelum Dewa Muda mengadakan serangan, dia telah lama bertapa dan apabila selesai, dia pulang dari gua tempatnya bertapa dengan membawa rangka atau ‘lembaga’ wau bulan yang baginya merupakan peta penyerangan dan penaklukan kembali Empayar Srivijaya itu. 

Lalu berkali masa Dewa Muda bertitah, “Demi empayar Sri Wijaya ini tidak bertelingkah, hendaklah sekalian jelata turut menyerang sekali.”

Maka disahuti rakyat jelata,”Jikalau itu titahnya, hamba juga turut serta.” Lalu berkhabar Dewa Muda,”Jikalau begitu, hasrat hati ini mahu bertapa di gua sana.”

Maka menjawablah sekalian rakyat jelata, “Baiklah. Jika demikian itu, tunaikanlah segala hajat hati sebelum perjanjian yang bermuafakat ini.”

Telah sudah berkhabar-khabar, maka Dewa Muda lalu bermohon bergerak ke gua bertapa. Tiada berapa lamanya, maka keluarlah Dewa Muda terlalu sukacita dari tempat bertapa membawa rangka Wau Bulan seraya berkhabar, “Ini peta dari pertapaan. Demi penyerangan dan penaklukan semula empayar Sri Wijaya.” Hatta, kalakian maka demikianlah tersebutlah perkataannya Dewa Muda tatkala tiba.

Arkian maka datanglah berkumpul sekaliannya, dahsyat seketika melihat akan rangka itu. Maka bertanyalah rakyat jelata, “Hai tuanku Dewa Muda, barang apakah tuanku membawa rangka Wau Bulan itu ke mari? Silakanlah bertitah, boleh saya semua mendengar.”
  
Eh Wau Bulan
Eh Wau Bulan
Eh Wau Bulan

Dewa Muda menakluk kembali empayar yang agung itu kira-kira pada tahun 713 hingga 779 Masihi. Setelah mendapat kemenangan, Wau Bulan yang menjadi lambang Empayar Srivijaya dikenali sebagai ‘Sejagat Tanah Jawi’.

Arakian disebut-sebut kerahsiaan pada lembaga wau bulan itu di serata alam akan Kepala dan tengkuk wau bulan yang berbentuk garuda itu melambangkan raja segala burung yang sebenarnya seorang wali. Namanya ialah Riah, dalam Bahasa Arab disebut ‘Nabi Mahlail Alaihissalam’ antara 313 rasul dan dalam Bible, beliau disebut dengan nama ‘Mahalelselt’. Sekalian rakyat jelata menggelarkan Nabi Mahlail sebagai 'Burung Petala Indera’. Jadi, kepala Wau Bulan ini melambangkan roh dan semangat Empayar Srivijaya, dan memberi erti asas kebudayaan dan asas peradaban dalam empayar ini.

Dikisahkan bahawa unsur wau ini memiliki tiga belas bahasa, tiga belas ragam yang melambangkan negeri atau daerah yang disatukan kembali dengan negara pusat Empayar Srivijaya. Tiga belas negeri jajahan takluk tersebut ialah Filipina, Vietnam, Segenting, Kemboja, Laos, Siam Tengah, Siam Utara, Burma, Burma Barat dan Benggala Timur menganjur ke Kepulauan Andaman, Pulau Irian dan Pulau Sulawesi. Sementara tiga belas ragam bererti tiga belas suku terdapat di tiga belas daerah/negeri tersebut.

Bulatan bulan pada Wau Bulan melambangkan negeri-negeri daratan yang dinamakan NUSARANTANG-kawasan yang bersambung.

Bintang yang terletak di antara bulatan bulan sabit penuh dilambangkan sebagai ‘negara pusat’ atau ‘kawasan pusat pemerintahan’ yang dinamakan 'NUSA KENCHANA-Kawasan Emas yang mana Nusa Kenchana ini terletaknya megah tanah warisan nenek moyang Melayu yang sebelum diberi namanya Malaka. 

Manakala pula bulan sabit penuh yang menjadi bahagian bawah wau ini dilambangkan dengan negeri-negeri kepulauan yang dinamakan NUSANTARA-Kawasan yang dirantai oleh laut-laut.

Wau Bulan ini memiliki tiga teraju yang melambangkan tiga bahagian empayar Srivijaya dan tiga teraju ini diikat oleh satu tali, yang melambangkan Empayar Srivijaya ini diperintah oleh satu pentadbiran pusat yang berkerajaan emas di Nusa Kenchana - Semenanjung Emas sebelum nama kerajaannya digelar Melaka karena rakyat jelata di sini tinggi ketamadunannya dan mahir dalam segala macam perkara.

Begitulah ceriteranya al-kisah bumi bertuah Nusa Kenchana berkerajaan Wau Bulan di Semenanjung Emas.

SUMBER CERITA : Toko Saudagar Tekua
LAKARAN GAMBAR : SENIREKA TO' PEK
KAJIAN SEJARAH : PENCHAK PUKULAN 13

Risalah Warisan Bangsa...

Dari satu gelanggang ke satu gelanggang,
Dari rantau ke serata rantau,
Membentuk jatidiri melalui persilatan,
Menjadi bekalan ketika di perantauan...

Anak dagang menggalas bekalan,
Bukanlah makanan menjadi bekalan,
Eloklah bahasa eloklah badan,
Pekerti dijaga silaturrahim berpanjangan...